Pengenalan Fakulti Sains Sosial
Fakulti Sains Sosial (FSS) Universiti Islam Melaka merupakan salah satu fakulti terawal sejak penubuhan rasmi universiti ini yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Beroperasi sejak 1 April 2011, fakulti ini berperanan sebagai pusat pengajian yang menggabungkan ilmu sains sosial dengan nilai-nilai Islam, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Melaka untuk melahirkan graduan yang cemerlang, berjati diri Islam dan peka terhadap isu sosial. Seiring perkembangannya, fakulti ini telah melalui proses penjenamaan semula daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial kepada Fakulti Sains Sosial (FSS) untuk mencerminkan identiti yang lebih relevan dan profesional.
FSS kini menawarkan program pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Sarjana dan Doktor Falsafah, merangkumi bidang seperti Psikologi, Kaunseling, Komunikasi Massa dan Sejarah. Dengan pendekatan interdisiplin yang menekankan keseimbangan antara teori dan amali, fakulti ini komited melahirkan graduan yang memahami tingkah laku manusia, berupaya menangani isu psikososial dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat.
Selain itu, fakulti turut memperkukuh aktiviti penyelidikan dalam bidang psikologi dari perspektif Islam, psikologi kesihatan, kaunseling pelbagai budaya, dan isu-isu sosial semasa, di samping menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan institusi pendidikan.
Kini, Fakulti Sains Sosial mempunyai seramai 14 orang pensyarah dan seorang staf pentadbiran yang berperanan penting dalam memastikan kelancaran urusan akademik dan pentadbiran fakulti. Barisan pensyarah terdiri daripada mereka yang berkelulusan tinggi dalam pelbagai bidang sains sosial termasuk psikologi, kaunseling, komunikasi dan sejarah, dengan kepakaran yang meliputi pelbagai subdisiplin.
Secara keseluruhan, Fakulti Sains Sosial UNIMEL terus berkembang sebagai pusat ilmu yang berteraskan integrasi antara sains sosial moden dan prinsip Islam, dengan matlamat untuk melahirkan insan seimbang dari segi intelektual, spiritual dan sosial.